KUALA LUMPUR – Semua prosedur dan urusan berkaitan pelaksanaan titah adendum dilakukan mengikut undang-undang sedia ada oleh Lembaga Pengampunan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukuman atau lega hukuman.
Jelasnya, kuasa YDPA adalah bagi kesemua kes dan kesalahan yang dilakukan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Manakala bagi kes-kes dan kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan adalah di bawah Raja, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri
masing-masing.
“Selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan
Perdana Menteri (BHEUU, JPM) selaku urusetia Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mengemukakan
salinan perintah yang telah diluluskan oleh Peguam Negara kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk ditandatangani.
“Seterusnya perintah tersebut akan dikemukakan kepada Istana Negara untuk perkenaan YDPA. Akhirnya, salinan perintah yang diperkenan oleh YDPA akan dikemukakan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara dan seterusnya kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk melaksanakan perintah tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta
Perdana Menteri menyatakan prosedur dan proses untuk kerajaan melaksanakan titah daripada Yang di-Pertuan Agong khususnya membabitkan Lembaga Pengampunan dan apakah langkah yang diambil untuk memastikan tiada titah yang disorok daripada pengetahuan umum.
Sebelum ini, kerajaan menjelaskan tidak pernah menyembunyikan titah adendum yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan, beliau sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak pernah melihat atau dimaklumkan mengenai dokumen tersebut.
“Saya percaya perkara ini, oleh sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diserah semula ke Mahkamah Tinggi.
“Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette