KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Khalid untuk mewakili suaminya, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dalam permohonan semakan kehakiman hari ini.
Untuk makluman, Tun Daim yang merupakan mantan Menteri Kewangan telah membuat semakan kehakiman melibatkan pembekuan akaun peribadi keluarga itu dan 18 syarikat milik mereka.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan tersebut selepas tidak dibantah oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebentar tadi.
Pada 6 Disember tahun lalu, Na’imah telah memfailkan selepas kematian Daim pada 13 November 2024. Bekas Menteri Kewangan itu menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Sebelum ini, allahyarham bersama Na’imah dan empat anak mereka serta 18 syarikat mereka telah bertindak memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Kerajaan Persekutuan.
Lapan belas syarikat tersebut ialah AAD Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Malur Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd.
Selain itu, syarikat lain ialah Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Selidik Jaya Sdn Bhd.
Menurut afidavit sokongan yang difailkan Na’imah, pemohon mendakwa mereka telah terjejas secara negatif dalam skala makro dan mikro disebabkan pelbagai tindakan responden, termasuk menyita dan membekukan akaun mereka.
Daim dan pemohon lain memohon pelbagai perintah, antaranya deklarasi bahawa penyitaan akaun mereka tidak sah kerana melanggar hak perlembagaan mereka dan dilakukan dengan niat jahat (mala fide).
Mereka juga menuntut perintah mandamus untuk membatalkan tindakan membekukan akaun mereka serta ganti rugi am.
AGC mendedahkan pihaknya akan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman keluarga tersebut.
Namun selepas kematian Tun Daim, mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan allahyarham daripada pertuduhannya. -MalaysiaGazette