KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk mengeluarkan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam dipersoalkan MIC.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengkritik perkara itu dengan berkata, cadangan garis panduan itu menyebut penganjur acara antara agama perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Adakah menteri mengatakan setiap kali ada kematian seorang bukan Islam, rakan muslim perlu mendapatkan kelulusan sebelum menghadiri upacara pengebumian?
“Apabila seseorang meninggal dunia, adakah kita perlu meminta kebenaran JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sebelum membenarkan umat Islam memberikan penghormatan terakhir?
“Memandangkan tanah perkuburan Islam terletak bersebelahan dengan krematorium bukan Islam di Klang, adakah kita perlu membakar semua mayat di luar bangunan majlis perbandaran sebagai gantinya,” soalnya pada satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, adakah kelulusan sama perlu dipohon sekiranya masyarakat bukan Islam mahu menjemput rakan muslim ke majlis perkahwinan.
“Pindaan ini akan menjadi liabiliti kepada kerajaan pemerintah kerana ia berkemungkinan mengurangkan sokongan bukan Islam terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.
Dengan itu, Saravanan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam perkara berkenaan.
Malah beliau turut meminta kerajaan berunding dengan kaum lain sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada semua pihak.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Antara lain, katanya, penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Tambah Mohd. Na’im, garis panduan itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
Antaranya ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya; persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam dan elaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat. – MalaysiaGazette