KULAI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kini dalam usaha membangunkan tapak perkuburan Islam baharu di Johor Bahru dan Kluang yang kini sudah padat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, usaha itu akan disiapkan dalam kadar segera bagi mengatasi isu berkenaan.
“Daerah lain belum ada masalah kepadatan kritikal tetapi di Kluang contohnya, kini mempunyai kapasiti terhad dan pembukaan tanah perkuburan di Padang Tembak boleh digunakan.
“Bagaimanapun, ini masih memerlukan peruntukan tambahan untuk dibangunkan.
“Beberapa tapak tanah Perkuburan Islam sedia ada di daerah Johor Bahru kini hampir penuh. Walau bagaimanapun, kerajaan sudah mempunyai perancangan untuk menempatkan ke tapak yang baharu. Ini akan memberi kelebihan kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Bandar Putra, di sini hari ini.
Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Pegawai Eksekutif MAINJ, Hasrin Kamal Hashim.
Mohd Fared berkata, setiap kawasan perumahan dan pembangunan diwajibkan mempunyai tapak untuk tanah perkuburan kerana itu merupakan satu keperluan yang mendesak serta perlu diutamakan.
Jelasnya, jika Johor mahu jadi negeri maju tidak seharusnya mengabaikan tentangĀ tapi keperluan utama seperti tanah perkuburan.
Menurutnya, ada lagi beberapa kawasan pembangunan pesat yang masih belum ditentukan tapak perkuburan misalnya di kawasan Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
“Apabila kawasan terbabit membangun dengan pesat, hendak cari tapak kubur pun susah. Jadi, sebelum perkara ini berpanjangan, eloklah kita bersiap sedia,” ujarnya.
Katanya, kemudahan dan keperluan di tapak perkuburan seluruh negeri perlu diselaraskan agar tiada pembaziran berlaku dalam memanfaatkan peruntukan kerajaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor masih memerlukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan.
“Pada 2024, kita berbelanja sebanyak RM2.18 juta sahaja di seluruh Johor. Ia merupakan jumlah yang kecil. Tahun ini, kita memerlukan (dana) tambahan sebanyak RM3 juta sekurang-kurangnya untuk menyelia 59 permohonan yang kita kendalikan.
“Semoga dengan sokongan dan dukungan semua pihak, Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor dapat terus membantu pengurusan dan pembangunan tanah perkuburan di seluruh kariah dalam Johor,” tambahnya.- MalaysiaGazette