Bangunan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri Malaysia (KLN) sedang memantau rapi situasi di Republik Demokratik Congo (DRC), susulan pergolakan yang menyebabkan perpindahan penduduk serta penawanan bandar Goma, bandar terbesar di bahagian timur negara tersebut.

Menurut kenyataan Wisma Putra, anggota pasukan pengaman Malaysia yang berkhidmat di bawah Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penstabilan di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) berada dalam keadaan selamat.

“Kementerian juga sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia, yang turut diakreditasi ke DRC, serta Kementerian Pertahanan bagi menilai keadaan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan.

“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang bercadang untuk melakukan perjalanan ke DRC dinasihatkan agar menangguhkan rancangan mereka sehingga keadaan keselamatan kembali stabil,” kata Wisma Putra.

Langkah ini tambah Wisma Putra diambil bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa di DRC dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang keperluan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia, sedia memberikan bantuan.

“Orang ramai boleh menghubungi pejabat tersebut melalui nombor telefon (+264-61) 259 342 atau (+264-61) 259 344, serta melalui e-mel di [email protected].,” jelas KLN lagi.

Situasi di DRC semakin meruncing sejak beberapa minggu lalu akibat pertempuran antara kumpulan bersenjata dan pasukan tentera kerajaan, yang mengakibatkan ramai penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan di kawasan yang lebih selamat.

Wisma Putra mengingatkan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara menjadi keutamaan kerajaan, dan sebarang langkah yang perlu akan diambil bagi memastikan mereka tidak terjejas oleh konflik yang berlaku. – MalaysiaGazette

Kementerian Luar Negeri akan terus memberikan maklumat terkini mengenai situasi di DRC dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perkembangan terkini dan membuat keputusan perjalanan yang lebih selamat.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here