KUALA LUMPUR – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) harus lebih fokus dan objektif terhadap usaha memperkukuhkan kedudukan parti itu menjelang pilihan raya di beberapa buah negeri dan pilihan raya umum akan datang.
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, ia termasuk dari sudut peremajaan BN, pengukuhan struktur dan jentera pilihan raya, penguasaan dalam media sosial serta strategi yang lebih efektif untuk memenangi lebih banyak kerusi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA menambah, kepimpinan BN khususnya dari sayap Pemuda BN juga, perlu mengadakan pertemuan dengan lebih kerap bagi membincangkan dan menyelesaikan sebarang perbezaan secara baik.
“Kita harus buang yang keruh dan ambil yang jernih demi memastikan BN terus menjadi wadah perjuangan yang kuat dan bersatu,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, beliau turut melahirkan sokongan terhadap kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menolak usaha menyingkirkan MCA daripada BN dan berpendirian perbezaan pandangan serta perdebatan kecil antara parti komponen BN adalah lumrah dalam politik.
Jelas beliau, pendirian Ahmad Zahid itu juga selari dengan komitmen Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong yang sentiasa menegaskan kepentingan memperkuatkan BN.
Tegasnya, MCA kekal komited dalam memastikan BN terus menjadi satu wadah politik yang stabil, inklusif dan diyakini rakyat.
“Apa yang penting adalah kita perlu rasional, mengutamakan perkara yang lebih besar dan tidak sesekali menembak kaki sendiri kerana tindakan sebegitu hanya akan menguntungkan pihak lawan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan yang mana BN bukan sekadar sebuah gabungan politik, tetapi sebuah warisan perjuangan yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara.
“Warisan ini dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan serta memeliharanya.
“Semua parti komponen harus memainkan peranan dalam memastikan BN terus relevan dan kuat menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid menyifatkan sebarang usaha untuk menyingkirkan mana-mana parti teras dan parti bersatu di dalam BN adalah umpama mimpi di siang hari.
Ini kerana, tegas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen BN adalah sangat jitu dan BN tidak akan sesekali terpengaruh dengan desakan menyingkirkan mana-mana parti komponen gabungan tersebut. – MalaysiaGazette