Anbalagan semasa mengetuai operasi serbuan premis perjudian di Puchong hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Serdang bertindak tegas terhadap kegiatan perjudian haram dengan menjalankan operasi ke atas 19 premis sejak Julai 2024 hingga Januari tahun ini.

Hasil serbuan, sebanyak 10 premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis A.A Anbalagan, pihaknya telah menahan 29 individu terdiri daripada 20 warga tempatan dan sembilan warga asing.

“Dalam serbuan tersebut, wang tunai sebanyak RM4,500, 107 tablet dan tujuh telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam aktiviti perjudian telah dirampas.

“Hasil siasatan juga mendapati ada premis yang melakukan penyambungan elektrik secara haram dan perkara ini kini dalam siasatan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam sidang media selepas menjalankan operasi pemotongan elektrik bersama TNB ke atas sebuah premis di Taman Kinrara, Puchong hari ini.

Selain tindakan pemotongan elektrik, polis turut menampal notis sitaan di bawah Seksyen 15 terhadap premis yang dipercayai telah beroperasi selama sebulan itu.

“Terdapat premis lain yang dimiliki oleh individu sama tetapi didaftarkan atas nama yang berbeza menunjukkan kemungkinan wujudnya sindiket perjudian terancang.

“Selain itu, ada juga premis yang sudah diserbu beberapa kali tetapi masih lagi beroperasi semula dan ini menunjukkan mereka cuba mengelak tindakan pihak berkuasa,” tambahnya.

Pihaknya berteagas tidak akan berkompromi dalam membanteras perjudian di daerah itu.

Beliau juga memberi jaminan  polis akan terus bekerjasama dengan  TNB untuk memastikan tindakan pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan sepenuhnya bagi mengekang operasi perjudian haram.

Manakala pemilik baharu yang ingin menduduki premis tersebut perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak TNB dan PDRM sebelum penyambungan semula bekalan elektrik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here