KLUANG – Polis menahan seorang lagi suspek terlibat dalam kes simbah cat dan pecah cermin kereta di rumah di Kampung Tengah di sini pada 31 Januari lalu yang menyebabkan seorang lelaki warga Singapura cedera.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berkenaan merupakan suspek kedua daripada tiga lelaki itu yang terbabit dalam serangan terbabit pada pukul 5.30 pagi.
Beliau memberitahu, dalam insiden itu tiga suspek terlibat dan suspek pertama iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun berjaya ditahan manakala dua lagi berjaya melarikan diri sebelum usaha mengesannya giat dilakukan.
“Hasil daripada pengesanan itu, suspek kedua iaitu lelaki berusia 31 yang dipercayai salah seorang yang berjaya melarikan diri tempoh hari telah ditangkap di tepi Jalan Tangkak, Taman Durian Tunggal di Durian Tunggal, Melaka pada pukul 2.30 pagi semalam.
“Hasil soal siasat, kedua- dua tangkapan itu telah mengaku telah diajak oleh seorang lagi saspek yang masih bebas untuk melakukan kerja baling cat dan pecah cermin kereta di rumah pengadu pada hari kejadian,” katanya alam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, suspek yang masih bebas berjanji akan membayar upah kepada kedua-dua tangkapan sebanyak RM5,000 apabila kerja selesai.
Beliau berkata, semakan turut mendapati saspek yang tidak bekerja itu mempunya 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis Morphine.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek ditetapkan sehingga esok untuk membantu proses siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.- MalaysiaGazette