Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berhasrat melaksanakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) bagi memastikan perlindungan 24 jam sehari dalam tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara prinsip, mesyuarat Kabinet bersetuju dengan cadangan pelaksanaan SKBBK manakala KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas perkara itu.

Menurut beliau, KESUMA menjangkakan rang undang-undang bagi skim ini dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen pada tahun ini.

“KESUMA cakna dengan perubahan landskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia, kesan daripada perkembangan digitalisasi.

“Pelaksanaan SKBBK oleh PERKESO ini merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja terutama mereka yang terlibat FWA.

“Ini kerana risiko kemalangan yang tidak berlaku di pejabat atau waktu kerja seperti kelaziman,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu mengenai pelaksanaan SKBBK untuk melindungi individu dan sejauh mana skim itu dapat menangani cabaran risiko berkaitan kerja serta di luar waktu kerja susulan peningkatan aturan kerja anjal oleh majikan di Malaysia.

Beliau berkata, skim yang dicadangkan itu akan meliputi kemalangan yang berlaku dalam Malaysia, di luar waktu kerja termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan pekerjaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here