KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menetapkan sasaran pingat di Sukan SEA 2025 secara bersama persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia selepas ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia memandangkan pendaftaran akhir bagi atlet yang akan menyertai temasya dwitahun itu masih dibuka sehingga September ini.
Bagamanapun katanya, antara sukan-sukan yang akan menyumbang bilangan pingat yang banyak pada kontijen negara adalah akuatik terjun, trek berbasikal, hoki, memanah, menembak pelayaran, skuasy dan tenpin boling.
“Sebagai mana penetapan sebelum ini, sasaran pingat adalah kepada jumlah pingat keseluruhan dan bukannya mengikut warna pingat. Penetapan ini turut mengambil kira saranan pakar di Universiti Sains Sukan Nippon Jepun yang telah menandatangi MoU bersama MSN.
“Penetapan sasaran pingat emas akan memberi tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti. Pendekatan seperti ini juga adalah amalan telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
“Sehingga kini seramai 350 atlet di bawah Program Podium daripada 19 jenis sukan dan seramai 261 atlet pelapis kebangsaan daripada 15 jenis sukan sedang giat menjalani latihan program,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sasaran Malaysia dan persediaan untuk temasya dwitahunan itu yang diadakan di Thailand, susulan rombakan acara oleh tuan rumah.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, kontinjen negara gagal mencapai sasaran 40 emas ditetapkan apabila membawa pulang 34 emas selain 45 perak dan 96 gangsa sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan.
Sebagai rekod, ia adalah pencapaian terburuk Malaysia di pentas Sukan Sea dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak 2003 di Hanoi, Vietnam.
Ia adalah kali pertama kontinjen negara berada di kedudukan ketujuh selepas menghuni tangga keenam di Hanoi, Vietnam tahun lalu.
Namun Hannah ketika itu berkata, seramai 427 daripada 674 atlet yang dibawa ke Phnom Penh itu adalah barisan pelapis muda negara dan mereka menjelmakan 18 pingat emas, 27 perak dan 66 gangsa. – MalaysiaGazette