Mohd Khairul membersihkan rumahnya selepas air banjir surut di Jalan Balau, Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Tidak sampai sebulan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), kediaman mangsa banjir di Jalan Balau 2, Taman Desaru Utama di sini kembali banjir selepas hujan lebat sejak semalam.

Md Johari Dol, 68, berkata, air banjir naik sehingga paras betis dalam rumahnya secara mendadak sehingga keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman kerana bimbang keselamatan dan keadaan bertambah teruk.

Apa yang menyedihkan, katanya, mereka sekeluarga baru sahaja siap berkemas daripada banjir yang melanda rumahnya pada bulan lalu.

“Bulan lepas kami dipindahkan ke PPS pada 10 Januari dan tidak sampai sebulan pun, hari ini kami sekali lagi dipindahkan di PPS akibat banjir dan banjir kali ini memang tidak jangka.

“Baru sahaja siap kemas rumah untuk banjir bulan lalu kini dilanda banjir semula. Jadi mana barang-barang di tempat rendah kami tinggal naikkan sahaja supaya tidak terkena air,” katanya ketika ditemui hari ini.

Md Johari

Beliau yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Balau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi banjir di kawasan tersebut.

“Kita difahamkan banjir yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor limpahan air dari Sungai Lebam di belakang taman ini ekoran hujan yang turun.

“Kita harap pihak berkuasa dapat melakukan kaedah misalnya melakukan tambakan agar tidak berlaku limpahan dari sungai itu ke kawasan perumahan penduduk,” katanya.

Penduduk di Jalan Balau 11 pula, Mohamad Lewan Shah Rosli, 25, pula menyifatkan banjir yang berlaku kali ini adalah luar biasa ditambah dalam keadaan hujan tidak sampai 24 jam.

Mohamad Lewan

Menurutnya, biasanya banjir yang berlaku di jalan berkenaan tidak sampai terkesan sehingga ke dalam rumahnya.

Biasanya kata Mohamad Lewan, air hanya sampai di kawasan parkir kereta berbeza kali ini air masuk ke dalam rumah hingga paras atas buku lali.

“Jalan Balau ini jarang terkesan, memang naik air di kawasan depan rumah tapi tidak sampai dalam rumah berbanding Jalan Balau lain di kawasan belakang sana.

“Hujan memang berterusan sejak dari petang semalam dan biasanya hujan berterusan dua, tiga hari baru beri kesan banjir sampai masuk ke dalam rumah.

“Namun kali ini tidak sampai 24 jam pun rumah kami sudah dinaiki air. Bahkan bulan lepas kami tidak terkesan pun bila banjir berlaku di taman ini.

“Ketika air mula memasuki rumah, isteri yang perasan selepas dia dengar bunyi air meluap dari bilik air kira-kira pukul 5.30 pagi. Sebaik sahaja buka pintu depan air mula masuk ke dalam rumah manakala kawasan luar sudah penuh dengan air,” katanya.

Mohd Khairul Azim, 23, pula berkata, dia bergegas balik ke rumah sewanya di Jalan Balau 11 selepas jiran memaklumkan rumahnya dilanda banjir awal pagi tadi.

Beliau yang menetap bersama tiga rakan di rumah sewa itu sempat menyelamatkan barang penting namun terdapat barangan seperti karpet, peralatan serta pakaian yang tidak sempat diselamatkan.

“Kebetulan saya balik rumah kakak di Tenggaroh, kira-kira pukul 6 pagi jiran telefon maklumkan rumah banjir, saya kemudian bergegas balik dan sampai kira-kira 7 pagi.

“Ketika sampai kawasan luar rumah sudah banjir sampai paras lutut. Saya baru setahun menyewa di sini. Bulan lepas memang berlaku banjir juga tapi tidak sampai masuk ke dalam rumah dan tidak daftar di PPS.

“Namun kali ini terpaksa berdaftar di PPS kerana rumah dilanda banjir,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here