Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Lapan strategi dan hala tuju dirangka untuk menambahbaik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) selepas penggantungan perlembagaannya pada 1 November tahun lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia meliputi penambahbaikan tatakelola melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 ke arah menambahbaik komposisi dan tatakelola Ahli Jemaah Pengarah.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan fungsi antara pengurusan dan ahli jemaah pengarah serta menstruktur dan memperkasa peranan ahli lembaga pengarah dalam syarikat subsidiari NAFAS.

“NAFAS juga perlu menyusun semula kakitangan sedia ada mengikut bidang keutamaan dalam operasi dan perniagaan NAFAS. Kawalan dan had kuasa kakitangan NAFAS akan ditetapkan dalam dokumen Limit of Authority (LoA).

“Ketiga, penstrukturan semula syarikat subsidiari NAFAS melalui proses penggabungan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos dan melaksanakan proses penutupan bagi mana-mana syarikat yang tidak viable serta menjadi liabiliti kepada akaun kumpulan NAFAS,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Pertanyaan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN- Beluran) yang minta Kementerian menyatakan strategi pembaharuan menyeluruh yang telah digariskan untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS serta memulihkan keyakinan ahli peladang di samping memantapkan pengurusan serta operasi NAFAS.

Mengulas lanjut Arthur berkata, turut dilakukan iaitu mengaudit pengurusan dan pemantauan berterusan secara berjadual untuk memastikan ketelusan dalam urusan kewangan dan keputusan pentadbiran.

Selain itu, pengukuhan mekanisme semak dan Imbang melalui penubuhan jawatankuasa khas yang bebas dan bertanggungjawab mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa turut dibuat.

Tambah beliau, penguatkuasaan kod etika dan integriti bagi memastikan semua ahli jemaah pengarah dan kakitangan mematuhi standard integriti yang tinggi yang mana ahli Jemaah pengarah dan kakitangan diwajibkan menghadiri latihan etika, tadbir urus baik dan kesedaran undang-undang.

Katanya lagi, penambahbaikan juga turut merangkumi langkah mempelbagaikan sumber pendapatan NAFAS dengan melaksanakan kajian semula perniagaan dan projek semasa bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja.

“Kelapan, pemulihan kepercayaan awam melalui kempen kesedaran awam bagi memulihkan imej NAFAS sebagai organisasi yang komited kepada peladang serta pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kementerian bertekad untuk memperkukuhkan tadbir urus NAFAS serta meningkatkan kecekapan operasi melalui penambahbaikan berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here