GEORGE TOWN – Pengarah landskap sebuah agensi kerajaan Pulau Pinang antara dua individu direman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan menerima suapan dalam bentuk tajaan inap desa pada tahun lalu.
Turut direman pemilik sebuah syarikat kontraktor yang dipercayai memberikan suapan tersebut.
Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan tahanan reman selama lima hari terhadap kedua-dua lelaki itu selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba jam 8.55 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Menurut sumber, pengarah bahagian landskap berusia 42 tahun serta kontraktor berumur 37 tahun itu ditahan jam 2 petang semalam selepas mereka hadir ke pejabat SPRM negeri bagi memberi keterangan.
“Pengarah tersebut dipercayai menerima suapan daripada kontraktor berkenaan dalam bentuk tajaan inap desa di Tanjong Tokong di sini, dengan anggaran nilai RM2,420.
”Suapan tersebut diberikan agar membolehkan suspek mendapat projek landskap daripada agensi tersebut.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette