Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Tuduhan yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja disifatkan sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas, kata Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Menurut beliau, jika ketua pembangkang melemparkan tuduhan tersebut dengan merujuk titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, perkara itu telah dijawab oleh Anwar.

Katanya, Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.

“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” katanya yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BackBenchers) pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Shahar mendakwa, memanipulasi fakta oleh pembangkang merupakan taktik lama untuk mengelirukan rakyat sambil memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.

Dakwanya, ia juga satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Berhubung dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini, kononnya berlaku penderhakaan, ia adalah sesuatu yang tidak berasas kerana pelaburan bergantung kepada polisi dan ekonomi dan bukannya dengan fitnah politik.

Tegasnya, fitnah seperti itu bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi, juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” ujarnya.

Katanya lagi, komitmen perdana menteri terhadap institusi diraja sepanjang pentadbirannya adalah sentiasa menunjukkan penghormatan yang tinggi dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

Tambah beliau, segala tindakan kerajaan sentiasa selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa tuduhan Ketua Pembangkang adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat.

“Rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,” katanya.

Semalam, sidang dewan rakyat kecoh apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin membangkitkan isu kewujudan titah berkenaan serta dakwaan penderhakaan terhadap institusi diraja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya melarang sebarang perbahasan berkaitan titah adendum dalam sidang parlimen kali ini.

Johari menetapkan larangan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tindakan ahli parlimen pembangkang.

Selain itu, beliau turut melarang penggunaan perkataan “derhaka” dalam perbahasan mengenai isu titah berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here