KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus memacu ke hadapan apabila memperkenalkan pembangunan program baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sekaligus, menjadikan ia sebagai institusi pengajian tinggi swasta pertama yang menawarkan program berkenaan di negara ini.
Program baharu yang diperkenalkan itu kini dalam peringkat penilaian oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dijangka pengajiannya untuk pengambilan pertama bermula awal tahun depan.
AI kini menjadi bahagian penting dalam kehidupan moden, meresap ke pelbagai aspek seperti telefon pintar, sistem pengangkutan dan penjagaan kesihatan serta membantu mempermudah tugas rutin selain meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri.
Bagaimanapun, kemajuan AI juga membawa cabaran seperti isu privasi data, pengangguran akibat automasi dan keperluan ketelusan dalam keputusan mesin.
Bagi tujuan itu, UPTM telah menerbitkan sebuah buku bagi memberikan gambaran komprehensif mengenai AI termasuk sejarah, fungsi, manfaat, cabaran dan masa depannya dalam membantu masyarakat memahami dan beradaptasi dengan dunia yang semakin dipacu oleh teknologi ini.
UPTM turut mengadakan Karnival Pendidikan Pascasiswazah yang sarat dengan pelbagai aktiviti pertukaran kepakaran melalui forum industri dan ceramah perdana melalui topik pembangunan teknologi AI bermula kelmarin hingga esok.
Malah, menerusi karnival itu, orang ramai berpeluang untuk turut mendapatkan informasi berkenaan peluang kerjaya dalam bidang perakaunan dan kepentingan pendidikan sepanjang hayat daripada beberapa panel yang mempunyai kelayakan professional dalam bidang masing-masing.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UPTM, Profesor Dr. Muhamad Nizam Jali berkata, UPTM sememangnya berhasrat untuk menjadi pusat AI dalam institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Katanya, sebagaimana diketahui umum teknologi AI merupakan satu bidang baharu untuk masa depan dan menjadikan pasaran kerja kini semakin meluas.
Jelas beliau, menerusi teknologi AI, banyak perkara termasuk penyediaan data analitik dan apa sahaja yang relatifnya akan menjadi bertambah mudah.
“Insyaallah program AI ini akan ditawarkan paling cepat saya rasa dalam hujung tahun ni dan tempoh ppengajiannya adalah selama tiga tahun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran program berkenaan di Ibu Pejabat MARA, di ibu negara, semalam.
Majlis peluncuran itu disempurnakan Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf.
Mengulas lanjut, Muhamad Nizam berkata, antara syarat-syarat untuk mengikuti pengajian tersebut adalah, calon-calon mestilah memiliki diploma yang mempunyai kaitan dengan teknologi maklumat (IT).
Sekiranya, calon menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka perlu mengikuti kursus asas berkaitan IT terlebih dahulu.
“Untuk pengambilan bagi kumpulan pertama, biasanya UPTM akan memanggil sekurang-kurangnya 20 hingga 30 orang,” ujarnya.
Ditanya mengenai langkah promosi yang dilakukan oleh UPTM dalam mengenengahkan kursus berkenaan kepada orang ramai, Muhamad Nizam berkata, ia dilakukan menerusi karnival kerja dan pelbagai kaedah pemasaran.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia, Dr Saifuddin Mohtaram menjelaskan, kursus bagi Ijazah Sarjana Muda yang akan dilaksanakan oleh UPTM akan menjurus kepada pengkhususan iaitu dalam bidang kewangan, perniagaan dan data.
Katanya, pelajar-pelajar yang akan mengikuti kursus berkenaan akan belajar berkenaan dengan sains komputer dan pada masa sama turut mengikuti asas dalam teknologi AI.
Mereka juga jelas beliau, akan belajar secara khusus sama ada menggunakan laluan data yang besar taupun laluan dalam perniagaan .
“Mereka yang memohon untuk ikuti program AI ini, satu hari nanrti mereka boleh gunakan AI itu jika menjadi seorang ahli perniagaan ataupun sebagai jurutera data dan sebagainya. Jadi, baguslah untuk keperluan dia (kerjaya),” jelasnya.
Mengulas mengenai silibus yang akan diajar dalam program tersebut, Saifuddin memberitahu, UPTM bekerjasama dengan beberapa buah universiti daam membangunkan silibus-silibus berkaitan dengan bidang berkenaan.
Katanya lagi, silibus itu sememangnya mengikut kepada standard terkini sama seperti di universiti yang menawarkan kursus dalam bidang sama.
“Sekarang ini kita memang dah ada ramai pensyarah dan ada beberapa orang yang buat Ijazah Sarjana (master) dan doktor falsafah (PHD) dalam bidang AI.
“Jadi, setiap bidang itu ada pakar dia, dan Alhamdulillah, di UPTM ini kita dah berjaya bangunkan banyak pakar untuk mengajar subjek-subjek tersebut,” kata beliau sambil memberitahu kesemua pensyarah tersebut telah bersedia untuk mengajar dan membangunkan silibus. – MalaysiaGazette