KOTA TINGGI – Seorang wanita maut manakala dua beradik cedera termasuk seorang daripadanya parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki kemalangan dengan treler di Taman Sri Saujana di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan II, Saiful Aziz Sidek berkata, kejadian di persimpanan lampu isyarat pada pukul 9.18 pagi itu membabitkan pacuan empat roda Toyota Hilux dan treler Hino membawa muatan pasir.
“Susulan itu seramai enam anggota dibantu masing-masing satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di kejarkan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba turut disertai tiga pegawai perubatan dan lima anggota polis bagi membantu kerja-kerja no menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pihak bomba mendapati seorang mangsa tersepit dalam Toyota Hilux sebelum mengeluarkannya menggunakan alat pemotong hidraulik.
Menurutnya, mangsa yang maut Jelambai anak Rirong, 51, sementara seorang remaja lelaki, Franklin Xavier anak Robert, 14, cedera, dan seorang budak perempuan, Carolynna Cynthia anak Robert, 12, cedera parah.
Selain itu katanya, dua lagi penumpang Toyota Hilux, Selina anak Lmbat, 44, dan Tatiana Teressa anak Robert, 7, serta pemandu treler, Muhammad Nashrul Md Othman, 26, tidak cedera.
Jenazah mangsa katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala semua mangsa yang cedera dirawat pegawai perubatan di lokasi untuk rawatan lanjut.- MalaysiaGazette