KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan menegur Ketua Pembangkang supaya membuat perbandingan yang adil berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion sebagaimana dibangkitkannya semalam.
Chong Zhemin (PH-Kampar) membuat teguran itu selepas Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakwa cuba membuat perbandingan yang jahat dan memberi persepsi memburukkan imej kerajaan.
“Jadi, saya nak cabar Larut (ahli Parlimen) kalau nak buat perbandingan, buat perbandingan yang adil. Kalau Larut hari ini boleh tunjukkan kerajaan tidak menyewa daripada syarikat yang bagi tawaran lebih murah, ini bukan satu tuduhan yang betul.
“Kalau Larut boleh tunjukan bahawa kerajaan tidak menyewa daripada satu syarikat yang memberi tawaran lebih murah saya akan jadi orang yang pertama buat laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Tapi, tidak ada apa-apa tawaran yang lebih murah. Jadi, tak adillah nak bandingkan satu kontrak sewaan dengan kontrak beli terus,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Hamzah menuntut kerajaan memberi penjelasan berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.
Beliau berkata, jumlah tersebut dilihat amat besar berbanding pembelian 32 buah helikopter jenis sama yang dibuat Poland.
Katanya, kerajaan membuat polisi menyewa helikopter dengan begitu tinggi harganya, sedangkan syarikat yang mendapat kontrak itu ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dipohon untuk membuat polisi kontrak yang sama.
Dalam pada itu, Zhemin membuat perbandingan mengenai kos penyewaan kenderaan kerajaan menerusi konsesi yang dipegang oleh Spanco selama 30 tahun sejak ia dianugerahkan bermula 1 Januari 1994.
Katanya, Spanco menyewa kereta RM4.6 bilion untuk tempoh 15 tahun, tetapi pada masa itu ada syarikat yang menawarkan kontrak lagi murah sekadar iaitu hanya RM600,000.
“Tetapi Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) (PN-Pagoh) pada masa itu telah minta untuk tidak meneruskan kontrak tersebut tetapi memberi kontrak sewaan kepada Spanco yang lebih mahal,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 memaklumkan, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Menurutnya, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) (7); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (2); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) (2) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (4). – MalaysiaGazette