Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

KUALA LUMPUR – Punca sebenar kehilangan beras di pasaran disebabkan isu struktur harga kerana harga beras import tidak dikawal oleh kerajaan dan beras tempatan pula ditetapkan pada harga RM26 sekampit.

Walaupun terdapat perbezaan harga itu, hakikatnya beras putih tempatan dan beras putih import adalah beras yang sama, kata Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (PN-Bukit Gantang).

Padahal, negara ini mengeluarkan beras putih tempatan dan yang dibawa daripada luar negara secara import oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga beras putih.

“Kedua-dua beras ini tidak boleh dibezakan dan maknanya aktiviti percampuran ini sudah berlaku namun beras import tiada kawalan dari kerajaan.

“Bernas boleh menentukan harga jualan pintu gudang dan akibatnya beras import dijual sehingga RM40 sekampit,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata, manipulasi harga beras menyebabkan rakyat terpaksa berbelanja lebih yang mana harga beras pempatan pada RM26 dan beras import RM40.

“Beras tempatan dikampitkan kepada beras import dan dijual pada harga RM40. Sebab itulah beras tempatan hilang dan sehari rakyat terpaksa belanja lebih RM7 juta.

“Sebagai cadangan menyelesaikan isu manipulasi harga beras, saya amat konsisten dan sekali lagi mencadangkan agar kerajaan memuktamadkan cadangan mewujudkan harga tunggal beras putih dengan gred tunggal yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani (BPMM).

“Ia akan hanya mempunyai satu harga siling tak kira beras import atau beras tempatan, satu gred satu harga.

“Maka dengan cara ini, peluang untuk manipulasi sudah tidak ada. Tetapi kalau kerajaan tidak dapat buat satu harga, satu gred, maka saya yakin manipulasi akan terus berlaku dan rakyat terpaksa beli dengan harga yang lebih mahal,” katanya.

Syed Abu Hussin turut memberitahu, pada 23 Februari 2024, beliau telah membentangkan cadangan satu gred satu harga di dalam Mesyuarat Penuh NACCOL namun sehingga hari ini tiada keputusan muktamad yang diputuskan.

“Saya harap kali ini kementerian perlu berani put a stop dan tegas dengan kawalan harga supaya boleh fokus untuk membanteras kartel rantaian industri padi yang selama ini memangsakan pesawah dan pengguna.

“Sekiranya ada perjanjian konsesi beras bersama Bernas yang menghalang penyelarasan gred tunggal itu dibuat, saya mohon kementerian dedahkan butiran perjanjian tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here