KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedia untuk bertempur dengan DAP selepas terdapat ahli Parlimen pemimpin parti Roket itu mempersoalkan program yang dianjurkan oleh Mufti Perlis itu.
Menurut Mohd. Asri, beliau mengambil sikap dan pendekatan berdiam diri dalam menangani kerenah kepimpinan DAP dalam banyak isu kerana menghormati kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Mufti Perlis itu juga berkata, sikap berdiam diri selama ini terhadap tindak tanduk kepimpinan DAP juga disebabkan kerana mahu mengekalkan kestabilan negara selain menjaga sensitiviti beberapa rakan dalam parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/02/05/bolehkah-zakir-naik-berceramah-di-malaysia-soal-rayer/
Namun menurut Mohd. Asri beliau tidak akan berdiam diri jika pemimpin DAP terbabit terus bersikap provokatif dan akan bersemuka seperti pernah dilakukan terhadap bekas pemimpin parti itu, P. Ramasamy.
“Saya melihat program saya di Perlis dipersoalkan dalam media. Saya rasa MP DAP itu berhasrat untuk kembali ‘bertempur’ dengan saya dan Perlis seperti mana ‘gemulah politik’ Ramasamy dan beberapa rakannya dahulu pernah lakukan.
“Beberapa hal termasuk membabitkan DAP, saya diam pada masa ini kerana menghormati Perdana Menteri sekarang dan kestabilan negara. Demikian juga saya ada beberapa kawan dalam kepimpinan DAP yang saya rasa menghormati sensitiviti rakyat negara ini.
“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” katanya.
Beliau dalam kenyataan hari ini bagaimanapun tidak menamakan ahli Parlimen DAP terbabit.
Bagaimanapun media melaporkan, ahli Parlimen DAP RSN Rayer menimbulkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.
Ahli Parlimen Jelutong itu membangkit perkara tersebut susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.
“Saya ingin tanya kepada PDRM terutamanya kepada ketua polis negara, adakah larangan ini masih lagi berkuatkuasa?
“Kalau ia masih berkuatkuasa, baru-baru ini portal berita The Scoop melaporkan, bahawa Zakir Naik telah membuat satu ucapan ataupun membuat dakwah terbuka dalam satu majlis di Kangar pada 2 Februari 2025.
“Sekiranya laporan ini benar, persoalan saya adalah, kenapa Zakir Naik tidak mematuhi larangan berucap dan berdakwah yang dikenakan keatas beliau?” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.-MalaysiaGazette