JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas ditemukan terbaring sudah tidak bernyawa dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah di Taman Sri Skudai, Skudai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengetahui kejadian tersebut pada pukul 7.08 malam berkenaan selepas seorang wanita tidak sedarkan diri dalam rumah tersebut.
“Sepasukan polis telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita warga tempatan berusia 79 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan bertutup kain batik.
“Siasatan awal mendapati beberapa barang milik mangsa hilang dan dipercayai diambil oleh suspek. Pemeriksaan pihak perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mendapati terdapat unsur jenayah yang menyebabkan kematian warga emas terbabit.
Berikutan itu ujarnya, pihak polis melakukan soal siasat terhadap waris mangsa dan mendapati keterangan yang diberikan meragukan.
Pihaknya kemudian memberkas kedua-dua suspek berkenaan iaitu seorang lelaki dan wanita warga masing-masing berusia 51 serta 58 tahun untuk membantu siasatan.
“Beberapa barangan turut dirampas seperti dua telefon bimbit berserta sim kad, pakaian suspek dan dua cebisan resit pajak gadai.
“Semakan rekod jenayah mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan seorang lagi tidak mempunyai rekod lampau,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah di sini dan ditahan direman selama tujuh hati bermula hari ini hingga 12 Februari ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, jika sabit kesalahan dihukum mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum 12 sebatan. – MalaysiaGazette