KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen kerajaan berhasrat untuk bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung garis panduan baharu yang sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ia melibatkan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis di Rumah Ibadat Selain Islam yang sedang dibangunkan.
Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Syahredzan Johan berkata, ia antara lain akan memberi kesan kepada wakil rakyat beragama Islam yang diundang ke majlis di rumah ibadat bukan Islam.
“Wakil rakyat Islam yang menghadiri acara ini jelas bukan untuk beribadah tetapi menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada pengundi kami,” katanya di Instagram miliknya di sini.
Syahredzan berkata pihaknya akan menemui Mohd Na’im bagi mendapatkan maklum balas lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN
- https://malaysiagazette.com/2025/02/05/garis-panduan-baharu-bagi-umat-islam-di-sambutan-perayaaan-bukan-islam-mohd-naim/
- https://malaysiagazette.com/2025/02/05/dapsy-tak-setuju-garis-panduan-muslim-hadir-majlis-bukan-islam/
Terdahulu, Mohd. Na’im dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam memaklumkan bahawa JAKIM sedang memuktamadkan suatu garis panduan yang menggariskan tentang penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.
Ia antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam’ ini akan dimuktamadkan oleh muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, pada mesyuarat yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Februari ini.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Mohd. Na’im menjelaskan, cadangan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam, masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti. – MalaysiaGazette