KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan satu garis panduan yang masih di peringkat rundingan dan libat urus di Parlimen, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Jika perkara ini masih dalam perbincangan, mengapa ia dibaca di Parlimen? Kemudian menteri meminta agar isu ini tidak dipolemikkan. Sebenarnya, beliau sendiri yang mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat majmuk di negara ini. Ini isu sentuh sentiviti kaum dan agama.
“Kita sudah lama hidup dalam suasana berbilang kaum dan bangsa. Apabila cadangan seperti ini dikeluarkan, sudah tentu rakyat bimbang. Jadi, jangan salahkan sesiapa jika timbul keresahan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Tapah itu, ini sebab mengapa kerajaan diterajui ketika memerlukan pemimpin berpengalaman.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/02/06/garis-panduan-umat-islam-masih-dalam-proses-libat-urus/
“Jika tidak inilah hasilnya. Terus baca di Parlimen kemudian bila sudah bising dan rakyat rasa ganggu gugat, terus tuding jari cari salah dan cakap jangan cetus polemik,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan bahawa cadangan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti.
Beliau berkata, proses itu melibatkan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan akan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126 sebelum diangkat ke pertimbangan Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Perak.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Mohd Na’im memaklumkan bahawa garis panduan baharu itu akan merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian orang bukan Islam, serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Beliau turut meminta semua pihak agar tidak mempolemikkan isu tersebut sehingga menimbulkan keresahan awam kerana garis panduan ini bertujuan memastikan penganjuran aktiviti berorientasikan keagamaan dilaksanakan secara tertib dan menjadi wadah pengukuhan keharmonian negara. -MalaysiaGazette
Mahu beri penghormatan terakhir kena minta kebenaran JAKIM? – Saravanan