Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri bercakap pada media ketika Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim sempena Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai di Restoran Gastrohub, Nilai. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan garis panduan Muslim untuk menziarahi rumah ibadah bukan sesuatu yang baharu.

Oleh itu, Dr Zulkifli berkata, cadangan garis panduan menyentuh penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam serta kunjungan ke majlis di rumah ibadat bukan Islam tidak wajar dipolemikkan.

“Saya telah usulkan sejak menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, dan dinyatakan sekali lagi pada Mac 2023.

“Apa yang penting adalah wujud elemen hormat, toleransi dan mengutamakan prinsip asas dalam beragama iaitu akidah,” katanya di aplikasi X, hari ini.

Dr Zulkifli berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mendedahkan garis panduan menyentuh penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam serta kunjungan ke majlis di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus.

Beliau pada 17 Mac 2023 lalu berkata, garis panduan itu bagi menjaga batas-batas sensitiviti yang perlu dihormati untuk memelihara kerukunan yang sedia ada antara rakyat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Menurutnya, toleransi berkenaan mungkin sudah diketahui secara umum, namun setahunya untuk mendapatkan sebuah garis panduan lengkap meliputi semua agama-agama di Malaysia, ia masih belum didokumentasikan.

Dr Zulkifli berkata, ia perlu dimulakan dengan garis panduan ziarah ke rumah-rumah ibadah.

Di bawah peraturan yang dicadangkan, tidak boleh ada ucapan atau lagu dengan ‘propaganda’ atau persembahan keagamaan yang akan menghina orang Islam, manakala premis digunakan tidak boleh memaparkan simbol agama kepercayaan selain Islam.

Garis panduan itu mendapat pelbagai rekasi terutamanya daripada pemimpin bukan Islam antaranya, bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan sebelum ini telah menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan, manakala Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata garis panduan itu akan memberi kesan kepada wakil rakyat Islam yang menghadiri majlis di tempat ibadat bukan Islam.

Dalam mempertahankan garis panduan itu, Na’im berkata, garis panduan itu diatur dengan niat murni dan hanya bersifat nasihat.

Menteri itu juga berkata, ia bertujuan memupuk keharmonian ‘sosial dan budaya’ dalam kalangan masyarakat berbilang agama di Malaysia, sambil memastikan penyertaan orang Islam dalam acara sedemikian tidak mencetuskan kontroversi atau melanggar sensitiviti agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here