KLUANG – Hanya 1,000 daripada 10,000 buah sekolah yang masih belum melaksanakan sistem satu sesi berikutan kepadatan murid di sekolah berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) meletakkan sasaran untuk memastikan pelaksanaan sistem sekolah sesi tercapai menjelang 2030.
Ia dilaksanakan menerusi pembinaan sekolah baharu selain membaik pulih sekolah-sekolah daif.
“Sebenarnya perkembangan pendidikan di negara ini bergerak sangat baik dan ada 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi daripada lebih 10,000 yang masih lagi kita perlu uruskan.
“Namun KPM juga perlu mengambil kira beberapa faktor kekangan soal tempat, premis dan pengurusan-pengurisan sekolah itu sendiri,” katanya
Fadhlina berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Intan Minister’s Conversation (IMC) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Selatan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembagunan), Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Ditanya mengenai hukuman rotan kepada pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah, Fadhlina berkata, sudah ada garis panduan tentang hukuman tersebut yang begitu jelas dan itu adalah kuasa Guru Besar atau Pengetua serta Guru Displin.
Katanya, garis panduan itu sudah lama dan sepatutnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang memang dihadkan kepada pihak tertentu sahaja.
“Ia melalui proses yang panjang sebelum perlaksanaan hukuman rotan ini, ia adalah pendirian KPM ketika ini dan hanya dua peringkat sahaja diberikan kebenaran untuk melaksanakan hukuman rotan,” katanya.- MalaysiaGazette