Oplus_0

KOTA TINGGI – “Saya malas nak fikir pasal persiapan puasa, ini kali ketiga banjir berlaku dalam masa tempoh dua bulan. Bulan puasa dah dekat, sekolah pun buka tidak lama lagi.

“Ini pun kita tak tau bila lagi akan berlaku banjir selepas gelombang ketiga ini,” kata Manja Mohd Noar, 59, ditemui ketika membersihkan rumahnya selepas banjir surut di Kampung Baru Sungai Mas di sini hari ini.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, apa yang keluarganya fikirkan ketika ini adalah membersihkan rumah dan meneruskan kehidupan dalam keadaan bimbang banjir berlaku lagi dalam masa terdekat.

Dia mendakwa, sudah tiga kali banjir berlaku dalam masa dua bulan ini dengan gelombang pertama pada Disember lalu sebelum datang gelombang kedua bulan lalu dan kali ini berlaku semalam.

Semasa banjir kali ini ujarnya, dia yang tinggal bersama-sama tiga anak dan dua cucu di rumah tersebut sempat menaikkan barang dan perkakas rumah di tempat tinggi.

“Pakaian sekolah untuk cucu juga dapat diselamatkan. Kalau tak kena keluar duit lagi beli pakaian sekolah. Ini tak macam banjir gelombang kedua, habis barang rumah seperti tilam, permaidani dan katil dibuang kerana rosak tak sempat diselamatkan,” ujarnya.

Suri rumah itu berkata, banjir kali kedua juga amat mencemaskan kerana dikejutkan dengan kehadiran suara buaya berdekatan rumah mereka selepas limpahan air sungai berdekatan akibat banjir.

Manja mendakwa, anaknya terdengar suara buaya berdekatan rumah semasa mahu keluar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sebelum keluar rumah anak saya pesan berhati-hati kerana terdengar suara buaya berdekatan rumah. Semasa kejadian hanya saya yang belum keluar untuk berpindah manakala yang lain sudah pergi ke PPS.

“Sebelum ini penduduk pernah nampak buaya semasa memancing di sungai di kampung ini. Saya harap punca masalah banjir dapat diatasi dengan mendalamkan sungai berdekatan yang menjadi punca banjir.

“Banjir naik dari belakang rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari anak sungai yang mengalir ke Sungai Lebam,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Amalia Samad, 37, berkata, pemimpin setempat memaklumkan merancang untuk memindahkan mangsa banjir di kawasan berkenaan ke satu kawasan baharu yang lebih selesa dan selamat.

Ibu kepada dua anak itu berkata, keluarganya sudah fobia dengan banjir yang kerap berlaku setiap kali berlaku pertembungan air pasang dan hujan atau hujan lebat beberapa jam.

“Sejak berpindah ke kampung ini pada 2012, hanya tempoh dua tahun tidak banjir. Dalam tempoh itu kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan namun selepas itu banjir berlaku sehingga kini pada setiap hujung tahun.

“Setiap kali hujan sahaja kami berasa takut. Kami pun dah penat membasuh rumah dalam masa banjir beberapa kali ini, rumah pun dah kosong. Kami harap penempatan baharu yang dijanjikan akan dapat disegerakan,” ujarnya yang dibenarkan pulang dari PPS ke rumahnya hari ini.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Manja bersama-sama menantunya membersihkan rumah mereka selepas air banjir surut di Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here