: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandunya terbakar akibat terbabas dan melanggar sebuah rumah di Taman Rinting, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki nyaris rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabas dan melanggar sebuah rumah di Taman Rinting di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.45 petang itu, pemandu tersebut sempat melarikan diri sebelum kebakaran merebak dan memusnahkan 60 peratus kereta berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan I Sharol Suboh berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mereka turut dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta satu Rapid Intervention Motorcyle (RIM).

“Setibanya ke lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta yang melanggar rumah di kawasan tersebut.

“Kebakaran dipercayai bermula selepas kesan perlanggaran dan menyebabkan kenderaan terbakar dengan cepat.

“Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada pukul 2.21 petang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut kerana pemandu berkenaan sempat keluar dari kereta sebelum pasukan bomba tiba ke lokasi.

Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here