Tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JANUARI 2019

KLUANG – Gejala ketagihan vape dalam kalangan pelajar sekolah boleh dibanteras dengan kerjasama dan pemantauan rapi komuniti setempat serta ibu bapa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang dilaporkan menjejaskan lebih 20,000 pelajar sekolah seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KOM) katanya, tidak akan berkompromi dengan isu itu dan bakal melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala berkenaan.

“Isu ini ada dibangkitkan dalam Dewan Rakyat kelmarin dan KKM telah pun memberikan jawapan dengan tuntas bahawa tidak akan berkompromi dalam soal vape ini kerana ternyata kesannya sangat besar kepada anak-anak kita.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

“Jadi sebab itu pendekatan kita selain daripada memberikan kesedaran dan juga berkaitan dengan tindakan-tindakan disiplin kita juga mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala vape ini terus berleluasa di kalangan anak-anak kita.

“Kita ambil pandangan ini dan keseluruhan isu ini secara cukup serius. Saya pasti Ketua Pengarah juga antara mereka yang cukup komited melaksanakan proses-proses ini khususnya menyampaikan penegasan kita di peringkat JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) khususnya juga di peringkat sekolah,” katanya.

Fadhlina berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Intan Minister’s Conversation (IMC) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Selatan di sini hari ini.

Katanya, KPM akan terus berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan ia dapat benar-benar dikekang khususnya melibatkan kesihatan, disiplin anak-anak di sekolah dan yang paling utama bagaimana mereka dapat kesedaran penuh tentang bahayanya vape ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tindakan kerajaan tidak mengharamkan vape bukan bermakna kerajaan mengambil mudah dan tidak bertanggungjawab dalam isu itu.

Ujarnya, perkara  tersebut sememangnya menjadi komitmen bersama-sama KPM dan Kementerian Kesihatan yang mempunyai pandangan dan sikap tegas dalam soal itu.

“Apatah lagi ia melibatkan kesihatan komuniti dan juga keterlibatan anak-anak murid kita dalam aspek ini jadi saya tidak fikir ia adalah satu pendirian yang tidak bertanggungjawab,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here