KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Donald Trump yang mencadangkan agar Amerika Syarikat mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin ke negara jiran.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Salleh berkata, cadangan tersebut bukan sahaja tidak masuk akal, malah ia merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sesebuah negara, mencabuli undang-undang antarabangsa, dan menunjukkan kejahilan yang jelas terhadap realiti konflik di Palestin.
“Tindakan sedemikian jelas melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva, serta resolusi-resolusi antarabangsa yang menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
“Cadangan ini juga mencerminkan sikap angkuh dan jahil terhadap penderitaan berjuta-juta rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Akmal berkata, Pemuda UMNO mengesyorkan Wisma Putra segera mengeluarkan nota bantahan rasmi terhadap kerajaan Amerika Syarikat serta memanggil Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia bagi menyatakan pendirian tegas negara dalam isu ini.
Malaysia, katanya, tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan sebuah negara diceroboh dan hak rakyatnya diabaikan.
Selain itu, Akmal berkata, Pemuda UMNO juga menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mengambil pendirian yang tegas terhadap Amerika Syarikat dalam menolak sebarang tindakan yang mencabuli hak asasi rakyat Palestin dan menjejaskan kestabilan rantau tersebut.
“Pemuda UMNO Malaysia menegaskan bahawa penyelesaian kepada krisis di Gaza bukanlah melalui penjajahan baharu oleh kuasa besar, tetapi melalui keadilan dan pematuhan kepada hak asasi manusia.
“Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk menolak sebarang cadangan yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kedaulatan negara, serta mendesak agar hak rakyat Palestin dikembalikan sepenuhnya.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan hak mereka untuk bebas dari kezaliman dan penjajahan,” katanya. – MalaysiaGazette