Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada perbahasan ucaptama pada majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang membantah cadangan kerajaan mahu mewujudkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam adalah biadap dan tidak bertanggungjawab.

Tambah Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, kenyataan terbaharu DAPSY seolah-olah  ingin mencetuskan provokasi dan mencabar kedudukan Islam negara ini.

Jelasnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan perkara berkaitan dengan agama itu lazimnya dibuat oleh pihak berautoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Siapa DAPSY untuk mempertikaikan hal ini? Apakah hak mereka untuk campur tangan dalam urusan umat Islam sedangkan mereka langsung tiada autoriti dalam perkara ini?

“Pemuda Pas tidak akan berdiam diri apabila ada pihak luar yang cuba menekan umat Islam dengan agenda liberal yang melampau,” katanya menerusi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/05/dapsy-tak-setuju-garis-panduan-muslim-hadir-majlis-bukan-islam/

Katanya lagi, parti itu sepatutnya tidak mempersoalkan cadangan berkenaan sekiranya mempertahankan soal keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara ini.

“Jika DAPSY benar-benar mahu bercakap soal keharmonian, mereka seharusnya menghormati garis panduan yang telah ditetapkan dan bukan sibuk mempertikaikan sesuatu yang bukan urusan mereka.

Dalam masa yang sama, Afnan mengingatkan sayap parti DAP berkenaan bahawa Pas tidak akan tunduk dengan usaha mana-mana pihak yang cuba menafikan hak umat Islam.

“Jika mereka masih berkeras, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan Islam tidak diperkotak-katikkan oleh pihak yang berkepentingan politik.

“Cukup-cukuplah dengan sikap kurang ajar sebegini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam di Malaysia. Kami akan terus mempertahankan agama ini walau apa pun yang terjadi,” ujar Ahli Parlimen Alor Setar itu.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Kemudian, Ketua DAPSY Woo Kah Leong dilaporkan berkata menentang cadangan berkenaan.

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya kerajaan membatalkan pelaksanaanya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Ujarnya, panduan itu secara tidak langsung akan menyekat usaha pemahaman masyarakat yang akan mengakibatkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Garis panduan baharu bagi umat Islam di sambutan perayaaan bukan Islam – Mohd. Na’im

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here