PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan papan pemuka (dashboard) strategi pembanterasan rasuah nasional iaitu inisiatif yang membolehkan orang ramai memantau kemajuan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi inisiatif itu, orang ramai boleh memantau kemajuan setiap sub strategi di bawah tanggungjawab kesemua 19 ketua agensi peneraju NACS.
Dalam masa sama, jelas beliau, orang ramai menerusi papan pemuka itu juga dapat mengetahui mana-mana sub strategi yang telah berjaya diselesaikan di bawah NACS, output, ringkasan dan keberkesanannya sama ada menerusi penemuan kajian, dasar atau aspek undang-undang.
“Orang ramai boleh mengakses papan pemuka strategi pembanterasan rasuah nasional ini dengan melayari laman web di http//:ncas.sprm.com.my,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Azam berkata, NCAS 2024-2028 yang mengandungi 64 sub strategi untuk dilaksanakan di bawahnya merupakan kesinambungan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
Ujarnya, sejak dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira tujuh bulan lalu, sebanyak lima sub strategi telah pun selesai pelaksanaannya dengan pencapaian di peringkat ouput daripada keseluruhan sub strategi yang diletakkan di bawah NCAS.
Antara sub strategi itu, jelas beliau, adalah memantapkan tata kelola dan fungsi audit di perkhidmatan awam yang terletak di bawah Jabatan Audit Negara.
Selain itu, katanya, adalah sub strategi penggubalan perundangan untuk mengawal selia pintu masuk bagi menjamin pintu sempadan negara yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta menambah baik pelaksanaan kursus integriti antirasuah di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terletak di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Sub strategi lain ialah menjamin pelaksanaan modul pengurusan integriti tata kelola (governance) anti rasuah oleh Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi yang terletak di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta memasukkan minggu tema mengenai etika, nilai-nilai murni dan antirasuah dalam kalendar akademik sekolah yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya. – MalaysiaGazette