Oxford, United Kingdom – USANITA Sdn Bhd melakar sejarah apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sekolah Perniagaan Said (Said Business School – SBS), Universiti Oxford bagi menyediakan pendidikan eksekutif bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia terutamanya para usahawan dan profesional.
Pengarah Bersekutu Program Pengajian Eksekutif SBS Corinne Young berkata. sejarah turut tercipta apabila Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan menjadi usahawan wanita pertama dari Malaysia dan ASEAN yang menandatangani MoU dengan SBS Universiti Oxford.
Diitubuhkan pada tahun 1996, SBS adalah sekolah perniagaan Universiti Oxford yang dinamakan sempena dermawan Wafic Rida Saïd, yang merupakan ahli perniagaan kelahiran Syria yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang pendidikan dan kebajikan.
Walaupun masih muda, SBS kini diiktiraf sebagai antara sekolah perniagaan terbaik dunia di University Oxford yang menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, pendidikan eksekutif dan kursus dalam pengurusan serta kewangan.
Menurut Young, pihak SBS amat teruja untuk bekerjasama dengan USANITA bagi melaksanakan program latihan yang mampu memberikan impak positif terhadap pendidikan eksekutif, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di ASEAN.
“Kami ingin menyediakan peluang kepada para usahawan dari Malaysia dan ASEAN untuk ke Universiti Oxford untuk merasai pengalaman belajar di sini melalui program eksekutif yang ditawarkan.
“Bagi usahawan wanita pula, mereka berpeluang untuk belajar dan memberikan impak positif kepada Malaysia dan tempat kerja masing-masing,” katanya selepas menandatangani MoU tersebut bersama-sama Adzliana di Pusat Pengajian Eksekutif SBS, di Egrove Park pada 5 Feb.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia di London, Profesor Madya Dr. Mohd Hanafi bin Ahmad Damanhuri, Penasihat Kanan Program Pengajian Eksekutif SBS Hassan Malik, Pengurus Program Pengajian Eksekutif SBS Patricia Alvarez dan Penasihat Program Pengajian Eksekutif SBS Neus Garcia.
Sementara itu, Adzliana di dalam ucapannya berkata, pemilihan Universiti Oxford sebagai rakan strategik USANITA dibuat kerana sejarah gemilang dan reputasi globalnya yang menjadi simbol kecemerlangan dalam aspek pendidikan dan kepimpinan.
“Pencapaian bersejarah ini dicapai melalui program USANITA yang dikenali sebagai Bridge to Brilliance.
“Melalui kerjasama ini, pihak USANITA akan membawa kepakaran bertaraf dunia kepada usahawan dan pelajar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kerjasama di antara USANITA dan SBS tersebut juga selari usaha Kerajaaan Madani untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan United Kingdom seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi beliau ke negara tersebut bulan lepas.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di dalam rakaman mesej beliau yang disiarkan ketika program tersebut berkata, rakyat Malaysia berpeluang merasai pengalaman belajar di insitusi bertaraf dunia melalui kerjasama yang terjalin di antara USANITA dan Universiti Oxford.
“Kolaborasi sebegini memperkukuhkan lagi dedikasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memacu kepimpinan di peringkat serantau serta meningkatkan inovasi dan perkongsian ilmu di tahap global,” katanya.
Delegasi USANITA turut dibawa melawat kemudahan di kampus SBS termasuk Pusat Pengajian Thatcher dan Pusat Pengajian Eksekutif SBS di Egrove Park. – MalaysiaGazette