BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lima pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan sijil lahir dan kad pengenalan untuk empat anaknya sejak 2005.
Tertuduh, Bernad Arasad, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan kad pengenalan kali pertama atas nama Muhammad Imam Mahadi Bernad, 12, ketika melakukan permohonan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di JPN Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 3 Januari 2018.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan ke dua hingga ke lima, tertuduh didakwa sengaja memberikan maklumat palsu dalam borang JPN bagi mendapatkan sijil kelahiran atas nama Puteri Aisyah Bernad, Muhammad Saifullah Bernad, Puteri Aliya Bernad dan Muhammad Imam Mahadi Bernad.
Kesalahan itu dilakukan di Kaunter Bahagian Kelahiran,Kematian dan Anak Angkat JPN SPT antara 30 Disember 2005 hingga 13 Februari 2012.
Bagi empat pertuduhan itu, dia didakwa Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, denda sebanyak RM2,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Pulau Pinang, Nur Diani Kasno manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Nur Diani tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan lelaki terbabit merupakan warga asing.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette