logo mahlamah

MELAKA – Dua rakan terlepas hukuman gantung selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang lelaki gelandangan tanpa niat, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Muhammad Aliff Daniel Ong Abdullah dan empat tahun enam bulan terhadap Joel V Michael Louis, masing-masing berumur 23 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Mohd Eddie Hafiez Yusoh, 42.

Beliau memerintahkan hukuman penjara kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh tangkap, iaitu masing-masing pada 19 dan 20 Mac 2022.

Hakim itu berkata hukuman terbabit dijatuhkan selepas meneliti fakta kes serta hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta laporan sosial yang disediakan pegawai kebajikan masyarakat.

Kedua-dua lelaki itu pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan setelah didapati melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah lot kedai di Jalan Persisir Bunga Raya di dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 1 pagi hingga 3.45 pagi pada 15 Mac 2022.

Bagaimanapun, mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu dengan niat bersama menyebabkan kematian mangsa dengan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kematian, di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krisnaraja, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang ketika itu berumur 19 tahun berada dalam keadaan mabuk dan mencari orang gelandangan yang menghisap gam untuk dipukul dan telah melihat mangsa yang dikenali sebagai Bob sedang tidur di hadapan koridor sebuah kedai di Jalan Persisir Bunga Raya.

Tertuduh pertama Muhammad Aliff Daniel mengakui mengenali mangsa kerana pernah meminjam wang daripadanya dan ketika kejadian, kedua-dua tertuduh telah memukul mangsa termasuk tertuduh pertama menggunakan buku lima sebagai senjata sehingga mangsa cedera serta berdarah dan tidak sedarkan diri.

Kedua-dua tertuduh turut melarikan diri sebelum ditahan dan mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka sebelum meninggal dunia pada 18 Mac 2022, dan laporan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat head injury due to blunt force trauma. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here