KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) agar tidak mencampuri urusan yang berkaitan dengan agama Islam.
Ketua Wira Perkasa, Muhammad Arsyad Mohd Alias berkata, gerakan parti itu perlu menghormati masyarakat Islam di negara ini yang tidak pernah mencampuri urusan agama lain.
“Kamu siapa yang berani campur urusan agama Islam? Sedangkan orang Islam di negara ini tidak pernah mencampuri urusan agama kamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Muhammad Arsyad berkata, kenyataan DAPSY yang mempertikaikan cadangan kerajaan mahu mewujudkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam adalah satu tindakan yang biadap.
Tegasnya, DAPSY tiada hak untuk mempersoalkan, apatah lagi mempertikaikan urusan agama Islam yang sudah tentu akan menimbulkan kemarahan orang Melayu Islam.
“Wira Perkasa ingin bertanya, sekiranya kami juga mempersoalkan serta mempertikaikan urusan agama kamu, adakah kamu boleh terima?
“Sudah semestinya kamu juga mengecam tindakan ini. Begitu juga dengan kami.
“Wira Perkasa memberi amaran keras kepada kamu, kamu jaga agama kamu, kami jaga agama kami, kalau kamu mahu hidupkan suasana harmoni antara kaum di negara ini,” tegasnya.
Katanya lagi, DAPSY perlu faham agama Islam adalah agama Persekutuan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Ujarnya, sekiranya DAPSY tidak boleh menerima apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka sememangnya tidak layak untuk menjadi warganegara Malaysia.
“Kamu kena ingat orang Melayu adalah rakyat majoriti, dan sudah semestinya agama Islam perlu diperkasakan di negara ini.
“Jadi, kamu perlu belajar menghormati kaum majoriti yang ada dalam negara Ini jika kamu mahukan suasana yang harmoni diwujudkan
“Orang Melayu tidak pernah pertikaikan apa jua bentuk perayaan dan kepercayaan agama di Malaysia, malah kami menghormati. Tetapi, kamu kena ingat kalau sarang tebuan yang kamu jolok, kamu akan dapat sengatnya,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pemuda DAPSY, Woo Kah Leong dipetik berkata, pihaknya menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.
Sebaliknya, beliau mencadangkang agar kerajaan membatalkan pelaksanaanya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar menyifatkan panduan itu secara tidak langsung akan menyekat usaha pemahaman masyarakat yang akan mengakibatkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
DAPSY tak setuju garis panduan Muslim hadir majlis bukan Islam