Emas
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis menahan remaja lelaki dan dua wanita dewasa kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian barang kemas yang hilang di tempat sembahyang dalam sebuah rumah di Taman Harmoni di sini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) menerima laporan berkenaan kejadian tersebut daripada seorang lelaki tempatan berusia32 tahun pukul 11.17 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, sebelum itu mangsa menyedari barang kemas miliknya yang bernilai RM157,600 hilang pada pukul 8 malam sebelum membuat laporan polis.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati semua barang kemas tersebut disimpan di tempat sembahyang dalam rumah mangsa dan tiada sebarang kesan pecah rumah.

“Susulan itu pada Isnin sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBU berjaya memberkas empat lelaki berusia antara 17 hingga 18 tahun dan dua wanita berusia 35 dan 42 tahun di kawasan Skudai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu pihak polis merampas tujuh keping resit kedai pajak gadai, sekeping resit belian balik, seutas rantai leher warna kuning dan berbatu, satu bentuk cincin warna kuning, sebentuk cincin warna kuning, tiga pasang kerabu hidung warna kuning dan berbatu, enam pasang anting-anting, seutas rantai leher warna kuning serta dua loket warna kuning dan berbatu dengan jumlah rampasan dianggar RM70,000.

Hasil semakan mendapati keenam-enam suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan mereka kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini.

Meurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dipenjara, didenda atau disebat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here