ALOR SETAR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas untuk menangani masalah peningkatan jumlah pelajar sekolah yang terlibat dengan penggunaan rokok elektronik atau vape.
Yang Dipertua GPMS Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, penggunaan vape ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kesihatan pelajar, malah merosakkan disiplin dan suasana pembelajaran di sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Produk vape ini mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan kesan kesihatan seperti kerosakan paru-paru, kerosakan jantung, dan lain-lain masalah kesihatan.
“Sehubungan itu, kami menggesa KPM mengambil langkah yang lebih tegas dalam menangani masalah ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Syahir berkata, kerjasama antara KPM dengan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu diperkukuh terutamanya dalam aspek penyediaan bahan pendidikan dan kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar.
“Jaringan kerjasama dengan NGO juga perlu untuk memastikan mesej dan kempen dapat dilaksanakan menerusi program yang bakal dianjurkan.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat di kawasan sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan vape tidak mudah diperoleh oleh pelajar.
“Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam membendung gejala ini dengan memantau tingkah laku anak-anak serta memberikan didikan tentang kesan buruk vape terhadap kesihatan dan masa depan mereka,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, pihaknya memandang serius isu ketagihan vape dalam kalangan pelajar sekolah.
Jelasnya, KPM tidak akan berkompromi dengan isu itu dan bakal melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala berkenaan.
“Isu ini ada dibangkitkan dalam Dewan Rakyat kelmarin dan KKM telah pun memberikan jawapan dengan tuntas bahawa tidak akan berkompromi dalam soal vape ini kerana ternyata kesannya sangat besar kepada anak-anak kita,” katanya. – MalaysiaGazette