KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menyambut baik pengumuman terkini Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai kemasukan syarikat-syarikat baharu ke dalam sektor Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM).
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, ia secara langsung akan menjadikan industri perkhidmatan pemeriksaan kenderaan menjadi lebih dinamik sekaligus mewujudkan persaingan sihat.
“Puspakom akan terus berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan kepada semua pelanggan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Mahmood, kewujudan syarikat-syarikat pengendali baharu dalam sektor tersebut akan dapat membuka peluang perkongsian tanggungjawab dalam memastikan keselamatan kenderaan dan dapat bertukar pendapat bagi meningkatkan kualiti pemeriksaan kenderaan dalam negara.
Hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan melantik tiga syarikat baharu untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Katanya, dalam masa yang sama Puspakom pusat akan tetap beroperasi seperti biasa.
Jelas Anthony, Puspakom merupakan salah sebuah pusat pemeriksaan yang dilesenkan dan orang ramai masih boleh mendapatkan khidmat pemeriksaan kenderaan di situ.
Mengulas lanjut, Mahmood berkata, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan budaya keselamatan jalan raya dapat diperkukuh.
“Ini merupakan peluang untuk semua pihak berganding bahu untuk memupuk budaya keselamatan jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Puspakom tidak akan bertolak ansur terhadap salah laku yang melibatkan kakitangannya.
“Kita semua maklum ketika ini ada kakitangan Puspakom sedang disiasat oleh pihak berkuasa. Saya ingin sekali lagi menegaskan kita bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan berkompromi tentang isu jenayah rasuah.
“Ini menandakan permulaan era yang mencabar namun menarik bagi Puspakom. Fokus kami adalah untuk meningkatkan standard integriti dalam semua aspek,” tegasnya.
Sebelum ini, seramai empat kakitangan Puspakom cawangan Wangsa Maju telah memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya berhubung siasatan kenderaan tidak mematuhi standard yang didakwa diluluskan pihak berkenaan.
Siasatan berkenaan susulan Ops Mengejut yang dilakukan JPJ.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Puspakom tetap beroperasi meskipun kerajaan lantik 3 syarikat baharu