KUALA LUMPUR – Lebih 20 jalan di sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula Ahad ini hingga 11 Februari depan sempena perayaan Thaipusam 2025.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penutupan jalan dan lecongan bagi upacara perarakan pendati akan bermula pukul 9 malam pada 9 Februari ini.
Katanya, ia bermula dari Kuil Sri Maha Mariamamman di Jalan Tun H.S Lee menuju ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves yang dijangka berakhir jam 4 petang, 10 Februari ini.
“Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Pudu Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi.
“Turut terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Belia, Jalan Sri Amar, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima) dan Jalan Kepong Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perarakan balik pedati itu akan bermula pada Rabu ini iaitu 12 Februari pada pukul 3 petang melalui laluan yang sama.
Susulan itu, beliau menasihati seluruh warga kota terutama pengguna jalan raya agar merancang perjalanan sebaiknya dan mengelakkan daripada menggunakan jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan serta lencongan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat untuk menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee menerusi talian 03-20719999 atau Hotline Trafik 03-20260267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette