KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menggempur tujuh premis perniagaan termasuk kedai makan yang kotor dan menjijikkan milik warga asing serta pelarian etnik Rohingya dalam operasi kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor berkata, menerusi operasi itu, pihaknya mendapati keadaan kedai makan berkenaan termasuk dapur amat kotor dan berisiko mengundang masalah kesihatan.
“Mereka juga bebas menternak ayam di suatu ruangan kecil di situ. Mereka juga berniaga tanpa mendapatkan suntikan typhoid dan merasakan kebal dan boleh meniaga.
“Dua kedai makan itu diusahakan dua pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Mereka sebenarnya tidak boleh meniaga kecuali bekerja dengan orang lain dan hanya (bekerja) sebagai penyapu sampah atau kerja am sahaja dan bukan untuk mengaut keuntungan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, dua peniaga Rohingya berkenaan antara warga asing yang ditahan di tujuh premis perniagaan terbabit dan dikenakan tindakan tutup serta-merta.
Peniaga asing terbabit didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat ditetapkan bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKu) 2019.
Menurut beliau, dua premis perniagaan disita kerana beroperasi tanpa lesen.
Katanya, tiga Notis Amaran Pembatalan Lesen turut dikeluarkan kepada pemilik premis yang melanggar syarat lesen menunjukkan komitmen agensi dalam memastikan pematuhan undang-undang.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mengenakan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan bawah Akta Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama polis, SSM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor.
“Dalam usaha mengawal selia perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang tempatan, 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor melancarkan operasi bersepadu,” katanya.
Operasi itu, katanya, bertujuan melindungi kepentingan peniaga tempatan serta memastikan persaingan yang adil dalam sektor perniagaan.
Beliau berkata, operasi itu juga mampu memupuk kesedaran serta memberi maklumat dan pendidikan kepada peniaga berkaitan tanggungjawab dan pelaksanaan peraturan perniagaan di Johor.
Secara keseluruhan operasi yang dilaksanakan pada Disember 2024 merekodkan 12 kes penutupan premis, 52 kes sitaan, tiga notis dan 35 kompaun dengan nilai RM30,000.
Sementara operasi dijalankan pada Januari 2025 pula, katanya, merekodkan lapan kes penutupan premis, 75 kes sitaan, 21 notis dan 17 kompaun dengan nilai kompaun RM12,000.
“PBT akan terus melaksanakan operasi ini secara agresif bagi memastikan perniagaan di Johor dijalankan dengan adil dan dalam kerangka perundangan yang betul.
“Menerusi pelaksanaan operasi ini, saya berharap agar setiap peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kepentingan ekonomi negara dan kebaikan masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette