JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan lalu masuk dalam longkang di Jalan Persisiran Perling di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan pada pukul 12.15 tengah malam itu berlaku di arah Bukit Indah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz ditunggang mangsa yang berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Bukit Indah telah hilang kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa melanggar pembahagi jalan dan terjatuh dalam longkang di jalan berkenaan,* katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes itu katanya, disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan membahayakan.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Jin Siong 011-16490168.- MalaysiaGazette.