KUALA LUMPUR – Pengusaha dan pengendali makanan di mana-mana premis, gerai dan tapak pesta atau ekspo mesti mematuhi peruntukan mengenai kebersihan dan kewajipan pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pengendali dalam kalangan warga tempatan atau sebaliknya peraturan berkenaan wajib dipatuhi.
Jelasnya, ia merangkumi kewajipan dan tanggungjawab pemilik premis dan pengendali makanan terhadap kebersihan diri, amalan ketika menyediakan makanan, penggunaan peralatan perkakasan yang sesuai, penyimpanan, penyediaan, pembungkusan dan penghidangan makanan yang tidak terdedah kepada pencemaran.
“Dalam hal ini, penganjur, pemilik atau penyewa gerai-gerai jualan makanan dan minuman tapak pesta/ekspo makanan turut bertanggungjawab untuk memastikan setiap pengendali makanan telah mematuhi keperluan perundangan ini,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah KKM, semua pengendali makanan wajib menghadiri Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan vaksinasi anti tifoid.
Terdahulu KKM memandang serius isu keselamatan dan kebersihan di semua premis makanan termasuk yang beroperasi di tapak pesta/ekspo makanan walaupun ia bersifat sementara.
“Tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi keperluan perundangan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada adalah penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya lagi.
Sementara itu, KKM memaklumkan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjalankan pemantauan secara konsisten di tapak-tapak pesta/eskpo makanan seluruh negara.- MalaysiaGazette