AMPANG – Lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati di sini tengah hari ini.
Anwar yang memakai baju Melayu berwarna biru muda lengkap bersongkok tiba di Masjid Al-Mardhiyah kira-kira pukul 1.43 tengah hari.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau Altimet.
Seusai solat Jumaat, Anwar sempat meluangkan masa hampir 15 minit untuk beramah mesra dengan rakyat setempat yang mahu berswafoto bersama pemimpin negara itu.
Program turun padang menunaikan solat Jumaat itu antara program lebih mendekati rakyat sejak mengetuai Kerajaan Perpaduan.
Kemudiannya Perdana Menteri singgah ke Medan Selera Anjung, Taman Melawati di sini kira-kira pukul 2.30 petang untuk menjamu selera hidangan nasi kandar bersama rakyat hampir 30 minit.
Perdana Menteri seterusnya melakukan kunjungan ke Batu Caves untuk bertemu dengan komuniti India sempena Thaipusam yang bakal disambut penganut beragama Hindu pada 11 Januari ini. – MalaysiaGazette