PUTRAJAYA – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tetap akan beroperasi meskipun kerajaan telah melantik tiga syarikat baharu untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Puspakom adalah salah sebuah pusat pemeriksaan yang dilesenkan dan orang ramai masih boleh mendapatkan khidmat pemeriksaan kenderaan di situ.
“Puspakom masih beroperasi…Puspakom kita dah bagi (kelulusan) maksudnya semua cawangan mereka sedia ada boleh teruskan (beroperasi).
“Cuma bezanya ialah kita nak memperkenalkan operator baharu supaya dalam perkhidmatan ini ada pilihan dan ada persaingan,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.
Sebelum itu beliau ditanya wartawan mengenai status syarikat tersebut yang sebelum ini menjadi satu-satunya badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut sejak 1994.
Semalam, Anthony ketika menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat memaklumkan akan mengumumkan beberapa syarikat baharu yang akan diberi kelulusan untuk membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) hari ini.
Katanya, perkembangan itu adalah susulan keputusan kerajaan yang memutuskan Puspakom tidak lagi menjadi badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut sejak tahun lepas.
Beliau berkata, ketika ini, Puspakom tidak lagi memiliki konsesi sebaliknya hanya lesen untuk beroperasi bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan motor.
Terdahulu pada sidang medianya hari ini mengumumkan, kelulusan tiga syarikat baharu bagi melaksanakan PPKM selain daripada Puspakom.
Katanya, pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: