PETALING JAYA – Seorang saksi menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang dia dipanggil membantu siasatan kes Zayn Rayyan Abdul Matin melebihi lima kali kerana keterangannya tidak seperti yang dikehendaki polis.
Nasimah Abu Bakar, 33, berkata, polis yang menjalankan siasatan tidak menerima apabila beliau menyatakan ibu Zayn, Ismanira Abdul Manaf seorang wanita yang baik.
Beliau yang juga pembantu pengurusan murid di tempat Zayn bersekolah turut menafikan polis cuba mengenakan ibu bapa Zayn dengan mengugutnya memberi keterangan palsu.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz pada sesi pemeriksaan semula, saksi menjelaskan ia adalah sebahagian siasatan polis.
Menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan, Nasimah berkata, beliau hanya berlaku jujur dan tidak mahu memberikan keterangan palsu ketika siasatan.
Beliau menyatakan demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira pada perbicaraan pengabaian kanak-kanak autism itu.
Terdahulu, Haresh bertanya sama ada Nasimah mengenali seseorang bernama Zikril Azim dan menghantar mesej melalui TikTok namun saksi itu menyatakan tidak mengenali lelaki berkenaan.
Pihak pembelaan kemudian mengemukakan kepada mahkamah tangkap layar yang dikatakan mengandungi perbualan di antara Nasimah dan lelaki berkenaan.
Pada sesi pemeriksaan utama, Nasimah berkata, dia mendapat tahu mengenai kehilangan Zayn pada pukul 4 petang, 5 Disember 2023 yang dimaklumkan oleh ibu bapa lain menerusi aplikasi WhatsApp (anak mereka sekelas dengan Zayn).
Ujar saksi, dia kemudian menghubungi Ismanira bagi bertanyakan perkara tersebut dan disahkan oleh wanita itu bahawa anaknya lari `berdesup’ dan kemudian hilang.
“Saya selanjutnya menghubungi semula Ismanira keesokannya dan bertanya sama ada Zayn pernah hilang sebelum ini. Saya dimaklumkan anaknya pernah hilang di Taman Metropolitan Kepong, dekat sini,” ujar Nasimah.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Zaim dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka, Zayn Rayyan.
Menurut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung 17 Febuari ini. – MalaysiaGazette