Mohd Jafni melawat pasangan suami isteri yang tinggal dalam kereta di Bandaraya Johor Bahru, semalam, akibat tidak mampu sewa rumah.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri tinggal dalam sebuah kereta secara berpindah randah sejak dua bulan lalu kerana tdak mampu menyewa rumah.

Pasangan tersebut terpaksa mengosongkan rumah sewa yang diduduki sebelum ini atas faktor kesempitan hidup dan masalah kewangan.

Bagaimanapun nasib mereka mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu mengetahui perkara tersebut selepas melawat mereka semalam untuk melihat sendiri keadaan pasangan tersebut.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada YB Khairin-Nisa Ismail (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor) dan YB Mohd Fared Mohd Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor) untuk membantu pasangan suami isteri ini.

“Saya telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di PPR (Projek Perumahan Rakyat) Kempas Permai di bawah unit kecemasan PKPJ (Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor).

“Sebelum maghrib petang semalam dengan bantuan pihak MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) di bawah penyelarasan YB Fared pasangan ini dipindahkan ke PPR Kempas,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor bawah penyelarasan Khairin-Nisa juga akan memberikan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan pasangan itu boleh meneruskan hidup mereka.

“Kerajaan negeri bawah urus tadbir YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor akan berusaha sehabis baik memastikan kebajikan rakyat Johor dijaga.

“Semoga pasangan ini akan terus kuat semangat meneruskan hidup mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here