JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat merah ke atas dua kereta milik seorang lelaki, bulan lalu.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Rianovent Teo Chin Xi, 30, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah ke atas dua kereta iaitu Proton Waja dan Kia milik seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian RM500.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Camar 8, Taman Perling di sini pukul 5 petang, pada 26 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum dijatuhkan hukuman, peguam Kenji Soh Xin Da yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan mengambil kira kerugian RM500 yang dialami pengadu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis pukul 2 petang, pada 26 Januari lalu mendakwa ketika di tempat kerja telah menerima panggilan telefon daripada isterinya memberitahu rumah mereka disimbah cat merah.
Difahamkan, isteri pengadu turut menghantar gambar yang memaparkan dua buah kereta milik pengadu turut disimbah cat merah.
Polis kemudian berjaya menahan tertuduh pada pukul 12.20 tengah hari, 27 Januari lalu, dalam longkang di tepi Jalan Jaya di Kluang, sebelum merampas telefon bimbit dan kunci kereta.
Pemeriksaan lanjut ke atas kereta tertuduh menjumpai nota serta notis berbaur ugutan, alat tulis, tin spray, tin cat, baldi plastik terdapat cat dan sisa cat selain hasil pemeriksaan Jabatan Forensik terhadap telefon bimbit tertuduh terdapat bayaran diterimanya untuk melakukan perbuatan simbah cat merah ke atas pengadu.
Sementara itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan melakukan khianat dengan cara sama ke atas dua buah rumah sehingga menyebabkan pemilik kediaman itu mengalami kerugian masing-masing sebanyak RM57 dan RM60.
Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Padi Emas, Bandar Baru Uda di sini, pada pukul 6 pagi, 10 Januari lalu dan Taman Johor Jaya di sini, pukul 8 pagi, 25 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya R Nevina menawarkan jaminan RM8,000, namun dibantah Kenji Soh dengan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung isteri serta anaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette