HAMILTON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa supaya mempercepatkan pemindahan perubatan dari Semenanjung Gaza di tengah-tengah gencatan senjata berikutan terdapat sejumlah besar pesakit kritikal.
Menyifatkan kemusnahan di Gaza sebagai “di luar kepercayaan,” Richard Peeperkorn, wakil WHO untuk Tebing Barat dan Gaza berkata, 18 daripada 36 hospital beroperasi sebahagiannya.
“Kemudahan kesihatan berfungsi sangat terhad,” kata Peeperkorn semasa sidang media secara maya dari Gaza.
Sambil berkata tiada sesiapa, termasuk kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak terjejas dengan situasi di Gaza, beliau berkata, semua orang sedang bergelut dengan gangguan kecemasan dan kemurungan, namun hanya terdapat dua pakar psikiatri yang ada di rantau ini.
Peeperkorn menambah, beberapa hospital, yang tidak berfungsi akibat serangan, telah dapat menyambung semula operasi dengan pantas berikutan perjanjian gencatan senjata, dan menyebutnya “sesuatu yang positif.”
Menegaskan seramai “12,000 dan 14,000 pesakit memerlukan” pemindahan perubatan keluar dari Gaza, Peeperkorn berkata, separuh daripada pesakit cedera dalam serangan, manakala yang lain mengalami penyakit kronik.
Katanya, walaupun lintasan sempadan Rafah telah dibuka untuk pemindahan, beliau menegaskan ia tidak mencukupi.
“Kita perlu mempercepatkan (pemindahan perubatan). Sepatutnya lebih ramai pesakit melalui Rafah ke Mesir. Tetapi kita juga mahu koridor perubatan lain,” katanya.
Beliau berkata, WHO tidak dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan tetapi mengesahkan sejak 7 Oktober 2023, terdapat 670 serangan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan di Gaza, mengakibatkan 886 kematian, termasuk doktor dan orang awam serta 1,355 kecederaan.
Ditanya mengenai pentadbiran Presiden Donald Trump menarik diri daripada WHO, Peeperkorn melahirkan harapan bahawa AS akan mempertimbangkan semula keputusannya.
“Kami kesal dengan pengumuman itu, dan kami sangat berharap perkara ini dikaji semula dan dipertimbangkan semula,” katanya, sambil menambah tumpuan harus “kepada kerjasama, bukan pengasingan.”
Pada 20 Januari, hari pertamanya memegang jawatan, Trump menandatangani berpuluh-puluh perintah eksekutif, termasuk satu yang memulakan penarikan AS daripada WHO.
Perintah eksekutif itu menyebut empat sebab penarikan diri iaitu dakwaan WHO gagal melakukan pembaharuan, beban kewangan yang tidak adil ke atas AS, salah mengendalikan pandemik koronavirus dan berat sebelah politik. – Agensi