PETALING JAYA – Seorang guru pendidikan khas menggambarkan Zayn Rayyan Abdul Matin sebagai kanak-kanak autisme yang `dengar cakap’, tidak begitu aktif dan senang diurus di sekolah.
Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, anak muridnya itu berada dalam `dunia tersendiri’ dan tidak banyak kerenah.
Ujar saksi pendakwaan kesembilan (SP9), anak sulung pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf itu tidak pernah menyakiti kanak-kanak lain ketika dalam kelas.
“Sepanjang di sekolah, Zayn tidak pernah tunjukkan sikap aktif seperti berlari-lari, ketuk dinding, gigit atau pukul kawan lain.
“Dia akan duduk dekat satu sudut dalam kelas dan jika ingin sesuatu atau makanan, dia tidak terus mengambil sebaliknya dia akan pegang tangan saya dan bawa saya pada makanan itu.
“Dia ada `dunia tersendiri’, kita tidak tahu apa dia fikir. Kalau murid lain mengajaknya bermain, baru dia akan bermain manakala di luar kelas dia suka bermain gelongsor dan buaian,” ujar guru berkenaan.
Ketika saksi memberi keterangan berkaitan kanak-kanak autisme itu, Ismanira dilihat mengesat matanya menggunakan tisu manakala suaminya Zaim menunduk wajah.
Dalam keterangannya, Siti Aminah turut berkata, pada hari kejadian kehilangannya (5 Disember 2023), seingat beliau, Zayn membawa bekal biskut dan gegelung rumpai laut yang disediakan ibunya.
Menceritakan kejadian pada hari tersebut, saksi berkata, Ismanira tiba sedikit lewat daripada menjemput Zayn iaitu kira-kira pukul 12.05 tengah hari.
“Sebelum ini, Puan Isma tiba awal dan terus ke pintu pagar sekolah untuk menunggu anaknya.
“Sejak Mac 2023 hingga Disember 2023, saya hanya berurusan dengan ibu Zayn dan sepanjang pengetahuan saya, dia yang menjemput kanak-kanak itu,” ujarnya.
Siti Aminah menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz pada sesi pemeriksaan utama pada perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak mereka.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Haresh Mahadevan, saksi bersetuju bahawa perwatakan kanak-kanak autisme berbeza-beza berdasarkan persekitaran.
Siti Aminah juga bersetuju bahawa keterangan beliau menjurus kepada persekitaran di sekolah kerana ketika itu kanak-kanak tersebut didampingi guru dan rakan sekelas.
Haresh: Kelakuan kanak-kanak autisme sukar diramal?
Siti Aminah: Ya.
Haresh: Ibu Zayn tanpa gagal menyediakan makanan (sebagai bekal ke sekolah) setiap hari?
Siti Aminah: Ya.
Haresh: Pernah juga terdapat hari-hari dia tidak mahu makan ayam goreng dan sekolah akan menghubungi ibunya untuk menyediakan makanan lain?
Siti Aminah: Ya.
Haresh: Hingga ke tahap itu keprihatinan ibu Zayn?
Siti Aminah: Ya.
Haresh: Ibu Zayn lengkapkan tahap keselamatan dengan memakaikannya topi keledar walaupun jarak sekolah dari rumah hanya dua kilometer?
Siti Aminah: Ya.
Menurut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian), Zaim dan Ismanira didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung petang ini. – MalaysiaGazette