Woo Kah Leong

KUALA LUMPUR – Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong memberi nasihat terakhir kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya tidak bersikap lebih daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) sendiri.

Ia susulan keputusan Jemaah Menteri semalam untuk tidak meneruskan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Perayaan dan Kunjungan Ke Rumah Ibadat Selain Islam di negara ini.

Dalam masa sama, kata Kah Leong, DAPSY menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan cadangan pengemukaan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.

Ujarnya, titah baginda itu contoh kebijaksanaan institusi diraja dalam menjaga keharmonian agama dan hubungan antara kaum di negara ini.

“Nasihat DAPSY Kebangsaan kepada Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda UMNO yang juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan – berhentilah daripada meneruskan polemik tersebut.

“Isu ini telah pun diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang turut melibatkan semua Menteri UMNO. Sebagai seorang ahli kerajaan dan ahli UMNO, Dr Akmal seharusnya akur kepada keputusan tersebut dan menghormati konsensus yang telah dicapai.

“Cukup-cukuplah berlagak sebagai ‘hero’ yang seolah-olah anti Kerajaan Perpaduan atau anti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Negara ini tidak memerlukan ‘hero’ yang cuba merosakkan perpaduan nasional atau menolak segala cadangan baik daripada kerajaan.

“(Dr Muhamad) Akmal sepatutnya berpolitik dengan lebih matang, berhemah dan profesional dan bukan menjadikan setiap isu sebagai isu perkauman dan keagamaan.

“Tidak ada keperluan untuk bersaing dengan Perikatan Nasional, khususnya Pas dalam menjadi ‘hero’ agama yang konservatif,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Kah Leong, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, adalah menjadi tanggungjawab semua parti komponen untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum.

Ujarnya, sekiranya masih ingin bertindak seolah-olah sebagai ejen PN, adalah lebih baik Dr Muhamad Akmal meletak jawatan dan menyertai Pas daripada terus menjadi musuh dalam selimut dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ketenteraman, perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah yang paling diperlukan oleh negara kita pada saat ini. Enough is enough. Tidak perlu lagi pertengkaran yang tidak membawa sebarang manfaat. Let’s move on,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here