KUALA LUMPUR – Latihan menembak menggunakan senjata ringan jenis M16, antara modul asas ketenteraan yang diterapkan dalam silibus Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula 12 Januari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, ia memberi peluang kepada peserta mendapat pengalaman baharu dari segi teknik dan pengurusan senjata, selain menembak dengan tepat dan betul.
“Ia akan memberi mereka pengalaman baharu berkenaan dengan pengendalian senjata dan pengalaman menguruskan senjata.
“Kemudian mereka akan diberi peluang untuk melaras senjata dan menembak secara individu setelah mendapat bimbingan daripada jurulatih,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF08022025_PLKN-42.jpg)
Terdahulu beliau menyaksikan Latihan Menembak Senjata Ringan melibatkan 64 Wira Muda PLKN 3.0 Siri Pertama 2025 di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 siri pertama 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, 12 Januari lalu.
Mereka terdiri dari 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Jumlah itu termasuk 13 peserta yang hadir secara ‘walk-in’ pada sesi pendaftarannya pada 12 Januari di sini, terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti.
Selain itu, katanya, peserta PLKN 3.0 yang didedahkan dengan pengurusan senjata secara tidak langsung dapat menyuntik semangat patriotisme untuk meneruskan latihan ala ketenteraan yang lain.
“Bila mereka dapat peluang menembak, jadi semangat mereka makin tinggi berbanding orang lain yang tidak melaksanakan latihan menembak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette